Garis masa penganjur
Garis masa ini bermula 16 minggu sebelum hari larian. Event yang lebih kecil boleh dirapatkan, tetapi susunannya sama: kelulusan dan kos dahulu, jualan kemudian, logistik selepas jualan ditutup.
| Bila | Kerja utama |
|---|---|
| 16–12 minggu | Konsep, tarikh, tapak dan kebenaran pemilik tapak; bajet awal; hubungi badan pengelola untuk surat sanksi |
| 12–8 minggu | Sebut harga kit, insurans dan pasukan perubatan; tetapkan harga dan pakej; mohon kelulusan melalui eROSA |
| 8–2 minggu | Buka pendaftaran dan bayaran online; promosi melalui kelab, influencer dan media sosial |
| Minggu terakhir pendaftaran | Peringatan dan promosi akhir: 41.3% pesanan dalam data kami masuk minggu ini |
| Selepas tarikh tutup | Kunci kiraan jersi dan medal; audit data peserta; hantar maklumat hari kit |
| Minggu event | Hari ambil kit; taklimat petugas, marsyal dan pasukan perubatan; hari larian |
| Selepas event | E-sijil, penyata kewangan, laporan kepada penaja dan pihak berkuasa |
1. Konsep dan sasaran
Pilih jenis event berdasarkan siapa yang anda mahu tarik. Sekolah dan PIBG mempunyai peraturan tambahan untuk murid dan kutipan wang; lihat panduan larian sekolah dan PIBG. Fun run dan fun walk keluarga menarik peserta pertama kali dan kumpulan keluarga; colour run menarik peserta muda dan kumpulan kawan; larian malam dan relay menarik kelab dan pelari tetap. Pilihan ini menentukan jarak, harga, kit dan juga taburan saiz jersi yang perlu anda tempah.
Dalam data kami, larian kelab memerlukan jauh lebih sedikit jersi 3XL ke atas (4.8% hingga 7.2%) berbanding event komuniti dan keluarga (9.1% hingga 12.1%), dan pesanan berkumpulan membawa 44.4% daripada semua peserta. Tetapkan sasaran peserta yang realistik, dan anggaran paling pesimis yang masih membolehkan event berjalan.
2. Bajet dan harga tiket
Kira tiga jenis kos: kos setiap peserta (jersi, medal, BIB, insurans), kos tetap (tapak, sistem bunyi, pasukan perubatan, marsyal) dan caj platform serta bayaran. Harga tiket mesti menampung kos setiap peserta dengan selesa, dan event mesti pulang modal jauh sebelum semua slot terjual.
Kalkulator kos dan harga tiket mengira untung, margin dan titik pulang modal untuk angka event anda.
3. Kelulusan dan insurans
Menurut Pejabat Pesuruhjaya Sukan, fun run awam memerlukan kebenaran yang dipohon melalui eROSA, dan insurans berkumpulan peserta ialah syarat wajib. Polis, pihak berkuasa tempatan dan pemilik tapak juga perlu dirujuk. Kenyataan rasmi sejak 2025 tidak seragam, jadi sahkan kedudukan event anda secara bertulis.
Kategori pemohon, tempoh, fi, dokumen dan sumber rasmi untuk setiap satu ada dalam panduan permit dan insurans.
4. Pendaftaran online
Borang pendaftaran yang baik mengumpul apa yang diperlukan untuk kit, insurans dan keselamatan, dan tidak lebih:
- Nama, MyKad atau pasport, telefon, e-mel dan kenalan kecemasan setiap peserta.
- Kategori jarak, saiz jersi dan pilihan lain seperti lengan atau jersi tambahan.
- Pendaftaran berkumpulan dalam satu pesanan, supaya ketua keluarga atau pasukan membayar sekali.
- Kebenaran ibu bapa untuk peserta bawah 18 tahun.
- Kuota dan stok yang ditutup secara automatik bila habis, bukan dipantau dengan tangan.
- Persetujuan terma dan notis privasi yang jelas.
Pesanan yang belum dibayar perlu tamat tempoh secara automatik supaya slot tidak tersekat, dan peserta yang membuat pesanan baharu tidak boleh dikira dua kali. Kajian kes Daly'a Colour Run menunjukkan bagaimana had medal dan stok saiz ditutup sendiri.
5. Bayaran
FPX ialah platform pembayaran antara bank dalam talian; peserta membayar terus dari akaun bank mereka. Bayaran melalui gateway mengemas kini status pesanan dengan sendirinya, jadi penganjur tidak perlu memadankan pindahan bank dengan tangkapan skrin resit.
Tanya dua soalan tentang mana-mana sistem bayaran: ke akaun siapa duit masuk dahulu, dan bila ia sampai kepada penganjur. Dengan split bayaran, bahagian penganjur masuk terus ke akaun penganjur pada saat transaksi. Jika duit dikutip oleh pihak lain dahulu, minta penyata yang boleh disemak terhadap setiap bil.
6. Promosi
Data daripada lima event LariHub menunjukkan bila peserta sebenarnya membayar:
- 41.3% pesanan masuk dalam tujuh hari terakhir sebelum tarikh tutup.
- 26.9% pesanan dibayar antara 8 malam dan tengah malam.
- Jumaat dan Sabtu, hujung minggu di Kelantan, ialah hari paling perlahan.
Kelab dan influencer menjual lebih baik bila setiap seorang mempunyai pautan sendiri dan nampak hasilnya: dalam Kelate Friendship Run, 169 pendaftaran berbayar datang melalui pautan kelab dan influencer, dan 25 sumber dijejak secara berasingan. Jika anda menjalankan iklan, hentikannya sebelum slot habis. Butiran lanjut di bila peserta mendaftar.
7. Komunikasi dengan peserta
Peserta perlu menerima lima mesej, setiap satu dengan tujuan yang jelas:
- Pengesahan bayaran, dengan nombor pesanan dan kod QR untuk hari kit.
- Peringatan kepada mereka yang memulakan pesanan tetapi belum membayar.
- Maklumat hari kit: tarikh, masa, alamat dan peraturan wakil.
- Maklumat hari larian: masa lapor diri, flag off, parkir dan laluan.
- E-sijil dan ucapan terima kasih selepas event.
Jadikan e-mel saluran utama. WhatsApp berguna sebagai tambahan, tetapi nombor yang menghantar mesej beramai-ramai boleh disekat sementara, seperti yang berlaku dalam salah satu event kami; e-mel tetap sampai.
8. Jersi dan medal
Gunakan anggaran awal untuk sebut harga, dan pendaftaran sebenar untuk tempahan akhir. Saiz L dan M membentuk hampir separuh jersi dalam data kami, tetapi satu daripada lima peserta memilih 2XL ke atas. Medal pula ditempah dalam jumlah tetap; jika jualan pakej bermedal dihadkan secara automatik, anda tidak akan menjual medal yang tidak wujud.
Taburan penuh, perbezaan lelaki dan wanita, dan contoh tempahan ada dalam panduan saiz jersi.
9. Hari ambil kit
Hari kit ialah kali pertama penganjur bertemu kebanyakan peserta. Dalam 5 event dengan kaunter kit LariHub, 97.8% kit peserta berbayar diserahkan. Audit data sebelum kaunter dibuka, imbas QR untuk seluruh kumpulan sekali gus, dan sediakan senarai kertas sebagai sandaran. Langkah penuh dalam panduan hari ambil kit.
10. Hari larian
Hari larian ialah kerja penganjur, pasukan perubatan, marsyal dan pihak berkuasa. Senarai semak asas:
- Taklimat petugas dan marsyal, dengan peta laluan dan nombor kecemasan.
- Pasukan perubatan dan ambulans di garisan mula dan di sepanjang laluan.
- Stesen air, tandas dan kawasan simpan barang.
- Kaunter kit untuk peserta yang belum mengambil kit.
- Sistem bunyi, pengacara dan jadual flag off yang dipatuhi.
- Pelan cuaca buruk dan pelan pembatalan.
11. Selepas event
- Hantar e-sijil mengikut kategori, dengan muat turun sendiri menggunakan nombor pesanan (lihat panduan e-sijil).
- Sediakan penyata kewangan: kutipan, caj, kos dan untung bersih.
- Beri laporan agregat kepada penaja, bukan senarai peserta.
- Simpan atau padam data peserta mengikut notis privasi anda.
- Tulis apa yang perlu diubah untuk edisi seterusnya, selagi ingatan masih segar.
Istilah
- FPX
- Platform pembayaran antara bank dalam talian di Malaysia; peserta membayar terus dari akaun bank mereka.
- Split bayaran
- Bayaran yang dibahagikan oleh gateway pada saat transaksi, supaya bahagian penganjur masuk terus ke akaun penganjur.
- Kit larian
- Barang yang diambil peserta sebelum larian, biasanya jersi, nombor BIB dan cenderamata.
- BIB
- Nombor peserta yang dipakai di dada semasa larian.
- Flag off
- Masa larian bermula.
- Had medal
- Had jualan pakej bermedal yang sama dengan bilangan medal yang ditempah.
- Wakil
- Orang yang mengambil kit bagi pihak peserta, biasanya dengan menunjukkan QR peserta.
- E-sijil
- Sijil penyertaan digital yang dimuat turun oleh peserta selepas event.
- Relay
- Larian berpasukan; setiap ahli berlari satu bahagian jarak.
Event sebenar yang menggunakan LariHub
Setiap kajian kes menerangkan apa yang berlaku, dengan angka yang diukur dan pengajaran yang kami ambil:
- Kelate Friendship Run 2026 Dataran Masjid Muhammadi, Kota Bharu · 460 peserta
- Yaya Empire Sweet Monsoon Run 2025 Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu · 2,005 peserta
- Daly'a Colour Run 2026 Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu · 1,343 peserta
- PUC Balloon Run 2026 RTC Tunjung, Kota Bharu · 956 peserta
- Neon Beach Night Run 2026 Pantai Irama, Bachok · 495 peserta
- FunWalk Santuni Madani × Festival Rakan Muda SMK Berangan, Tumpat · 301 peserta
- Merayap Rabu Malam 2026 Dataran Masjid Muhammadi, Kota Bharu · 245 peserta
Soalan lazim
Berapa lama masa diperlukan untuk anjur event larian?
Rancang sekurang-kurangnya 12 minggu untuk event awam. Kelulusan Pesuruhjaya Sukan memerlukan permohonan sekurang-kurangnya 14 hari (30 hari bagi syarikat) sebelum acara, tetapi surat sanksi, kebenaran tapak, insurans dan cetakan jersi mengambil masa lebih lama.
Berapa lama pendaftaran patut dibuka?
Event dalam portfolio LariHub membuka jualan antara dua minggu dan tiga bulan. Tempoh yang panjang tidak bermakna jualan lebih banyak: 41.3% pesanan masuk dalam minggu terakhir sebelum tarikh tutup. Yang lebih penting ialah promosi dan peringatan pada minggu terakhir.
Apa beza fun run, colour run dan larian malam dari sudut penganjur?
Kerja pendaftaran, bayaran dan hari kit hampir sama. Bezanya pada kos dan logistik: colour run memerlukan serbuk warna dan kawasan pembersihan, larian malam memerlukan pencahayaan dan keselamatan tambahan, dan event keluarga memerlukan lebih banyak saiz jersi besar dan pakej berkumpulan.
Sumber rujukan
Tentang panduan ini
Ditulis oleh pasukan LariHub, platform pendaftaran dan operasi event larian komuniti yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan. Sejak Dis 2025, LariHub mengendalikan pendaftaran, bayaran, hari kit dan e-sijil untuk 7 event larian di Kelantan dan Terengganu, dengan 5,805 pelari berbayar. Angka dalam panduan kami diukur daripada event tersebut, secara agregat, tanpa data peribadi.