Daly'a Colour Run 2026: 1,343 peserta, satu kaunter kit

Daly'a Colour Run 2026 ialah colour run 5KM anjuran Daly'a Beauty di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, pada 11 Julai 2026. LariHub mengendalikan pendaftaran, bayaran FPX, had medal, kaunter kit QR dan e-sijil: 1,343 peserta berbayar dalam 968 pesanan, dan 1,308 kit diserahkan di kaunter (97.4%).

  1. 1,343 peserta berbayar
  2. 968 pesanan berbayar
  3. 97.4% kit diserahkan di kaunter (1,308)
  4. 1,058 e-mel e-sijil dihantar

Diukur daripada pangkalan data LariHub, 19 dan 23 Okt 2026. Pesanan berbayar sahaja.

Fakta ringkas

Penganjur
Daly'a Beauty
Tarikh
11 Julai 2026
Lokasi
Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan
Format
Colour run 5KM
Pakej
Individu, Kumpulan (4 orang), Lite (tanpa medal dan BIB)
Tempoh jualan
11 April hingga 9 Julai 2026

Modul LariHub digunakan

  • Halaman pendaftaran berjenama penganjur
  • Tiga pakej, termasuk kumpulan 4 orang dalam satu pesanan
  • Kod promo dan harga mengikut tarikh
  • Had medal automatik
  • Saiz jersi 2XS hingga 8XL dan saiz kanak-kanak
  • Bayaran FPX melalui Billplz, di-split ke akaun penganjur
  • E-mel pengesahan dengan kod QR
  • Nombor BIB
  • Kaunter kit QR
  • E-sijil
  • Dashboard jualan langsung
Poster Daly'a Colour Run 2026
Poster rasmi Daly'a Colour Run 2026

Apa yang penganjur perlukan

Daly'a Beauty mahu colour run edisi 2026 terbuka kepada keluarga dan kumpulan kawan, bukan pelari tegar sahaja. Itu bermakna tiga perkara: pendaftaran mesti mudah di telefon, satu orang mesti boleh mendaftarkan ahli kumpulannya sekali gus, dan bayaran mesti masuk terus ke akaun penganjur.

Medal pula ditempah daripada pembekal dalam jumlah tetap. Jualan pakej bermedal mesti berhenti tepat bila medal habis, tanpa menutup pakej yang tidak memerlukan medal.

Pendaftaran: tiga pakej, satu borang

Borang menawarkan pakej Individu, Kumpulan 4 orang dan Lite. Pakej Kumpulan mengumpul nama, MyKad dan saiz jersi setiap ahli dalam satu pesanan, jadi seorang ketua kumpulan membayar sekali untuk empat orang. Hasilnya, 500 peserta mendaftar melalui pakej Kumpulan.

Saiz jersi dibuka dari 2XS hingga 8XL, ditambah saiz kanak-kanak. 154 pesanan menggunakan kod promo, dan harga berubah mengikut tarikh yang ditetapkan penganjur. Taburan saiz yang dipilih peserta kini kami terbitkan sebagai data agregat dalam panduan saiz jersi.

Had medal yang menutup dirinya sendiri

Had medal ditetapkan sama dengan bilangan medal yang ditempah. Bila had dicapai, pakej bermedal dipaparkan PENUH secara automatik, manakala pakej Lite kekal dibuka. Penganjur tidak perlu memantau angka setiap jam atau menutup borang secara manual.

Selepas pendaftaran ditutup, penganjur memilih untuk membukanya semula selama empat hari (6 hingga 9 Julai) bagi menjual baki jersi. Kali ini stok dihadkan mengikut saiz: setiap saiz berhenti dijual bila bakinya habis, jadi tiada jersi dijual melebihi stok.

Bayaran: terus ke akaun penganjur

Peserta membayar melalui FPX di Billplz. Bayaran di-split pada saat transaksi: bahagian penganjur masuk terus ke akaun Billplz penganjur, dan bahagian LariHub ke akaun LariHub. Untuk event ini, penganjur memilih untuk memasukkan caj FPX ke dalam harga tiket.

Setiap pembeli menerima e-mel pengesahan dengan kod QR yang akan diimbas di kaunter kit. Status bayaran dikemas kini terus daripada Billplz, dan satu kerja automatik menyemak semula bil yang terlepas notifikasi, jadi tiada peserta perlu menghantar tangkapan skrin resit.

Hari ambil kit: 927 kit pada hari pertama

Kit diedarkan dari 3 Julai. Pada hari pertama sahaja, 927 kit diserahkan. Petugas mengimbas QR peserta atau mencari nama, MyKad atau nombor telefon; seluruh kumpulan muncul dalam satu kad, dan tuntutan kali kedua ditolak oleh sistem.

Sebelum kaunter dibuka, kami mengaudit data peserta: orang yang mendaftar dua kali (pesanan lama belum bayar, pesanan baharu sudah bayar), nombor telefon yang disimpan dalam dua format, dan MyKad yang bermula dengan 0 untuk peserta kelahiran 2000-an. Carian kaunter dibetulkan supaya sentiasa memaparkan rekod yang SUDAH BAYAR. Langkah penuh ada dalam panduan hari ambil kit.

Akhirnya 1,308 daripada 1,343 kit diserahkan di kaunter, iaitu 97.4%.

Selepas larian: e-sijil

E-sijil dijana mengikut templat penganjur. Peserta memuat turunnya sendiri dengan nombor pesanan, dan notis dihantar melalui e-mel: 1,058 e-mel sijil dihantar (satu e-mel boleh meliputi seluruh kumpulan).

Peserta Daly'a Colour Run diselubungi serbuk warna di garisan mula
Daly'a Colour Run, foto edisi 2025.

Pengajaran

E-mel ialah saluran yang pasti; WhatsApp ialah tambahan

Pengesahan dihantar melalui e-mel dan WhatsApp. Di pertengahan jualan, nombor WhatsApp penghantar disekat sementara oleh WhatsApp, dan mesej WhatsApp berhenti sampai. E-mel tetap sampai kepada setiap pembeli. Kami menambah semakan automatik yang menghantar semula pengesahan WhatsApp yang tertinggal bila talian pulih, dan sejak itu e-mel menjadi saluran utama untuk setiap event.

Had di pelayan mesti sama dengan apa yang dilihat peserta

Ketika pendaftaran ditutup, pelayan sudah menolak pakej Lite, tetapi kad harganya masih kelihatan boleh dipilih di halaman. Tiada bayaran yang salah berlaku, tetapi ia mengelirukan. Kini setiap had (medal, kuota, stok saiz) dipaparkan di halaman daripada sumber yang sama yang menguatkuasakannya.

Orang mendaftar dua kali; kaunter mesti jumpa rekod yang sudah bayar

Ramai peserta yang gagal membayar kali pertama terus membuat pesanan baharu. Tanpa semakan, petugas kaunter akan melihat "BELUM BAYAR" untuk orang yang sebenarnya sudah membayar. Carian kaunter kini sentiasa mengutamakan rekod berbayar.

Event seterusnya? Daftar hingga sijil, kami uruskan.

Cerita tarikh, tempat dan anggaran peserta. Kami balas di WhatsApp dengan cadangan setup dan sebut harga.